1

1

.

.

LARANGAN MENGGUNAKAN TANGKAL


Ulama sepakat bahawa tangkal yang tertulis perkataan-perkataan yang tidak difahami maksud atau perkataan yang syirik adalah haram.
Mereka khilaf tentang tangkal yang mempunyai ayat al-Quran atau jampi yang meminta kepada Allah.
Ulama yang membenarkan berhujah dengan riwayat berikut:
Daripada 'Amru bin al-'As radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: Apabila salah seorang daripada kalian berasa takut ketika tidur, hendaklah dia membaca:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ غَضَبِهِ وَعِقَابِهِ وَشَرِّ عِبَادِهِ وَمِنْ هَمَزَاتِ الشَّيَاطِينِ وَأَنْ يَحْضُرُونِ .
Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaanNya, hukumanNya, kejahatan hamba-hambaNya, daripada bisikan syaitan dan daripada hadirnya (syaitan) kepada ku.
فَإِنَّهَا لَنْ تَضُرَّهُ " .
Sesungguhnya semua itu tidak akan dapat memudharatkannya.
قَالَ وَكَانَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرٍو يُلَقِّنُهَا مَنْ بَلَغَ مِنْ وَلَدِهِ وَمَنْ لَمْ يَبْلُغْ مِنْهُمْ كَتَبَهَا فِي صَكٍّ ثُمَّ عَلَّقَهَا فِي عُنُقِهِ .
'Abdullah bin 'Amru mengajarkan bacaan ini kepada anaknya yang telah besar, dan untuk anaknya yang masih kecil, beliau menuliskan doa ini di atas kertas dan menggantungkannya di lehernya.
[Jami' at-Tirmizi, Kitab ad-Da'awat, hadis no: 3528, hasan gharib]
Ulama yang melarang pula berhujah dengan keumuman dalil-dalil melarang penggunaan tangkal seperti berikut:
عَنْ عَبَّادِ بْنِ تَمِيمٍ أَنَّ أَبَا بَشِيرٍ الْأَنْصَارِيَّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَخْبَرَهُ أَنَّهُ كَانَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ ، قَالَ عَبْدُ اللَّهِ : حَسِبْتُ أَنَّهُ ، قَالَ : وَالنَّاسُ فِي مَبِيتِهِمْ ، فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَسُولًا " أَنْ لَا يَبْقَيَنَّ فِي رَقَبَةِ بَعِيرٍ قِلَادَةٌ مِنْ وَتَرٍ أَوْ قِلَادَةٌ إِلَّا قُطِعَتْ " .
Daripada Abu Basyir al-Ansori radiallahu ‘anhu, beliau menyatakan bahawa beliau pernah bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebahagian musafir baginda. -Abdullah (perawi hadis) berkata: Aku rasa Abu Basyir ada berkata: orang ramai ketika itu berada di tempat tidur mereka-. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menghantar utusan untuk memastikan tiada sebarang kalung di leher unta melainkan ia mesti dipotong.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Jihad, hadis no: 2799]
عَنْ عِيسَى أَخِيهِ ، قَالَ : دَخَلْتُ عَلَى عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُكَيْمٍ أَبِي مَعْبَدِ الْجُهَنِيِّ أَعُودُهُ وَبِهِ حُمْرَةٌ ، فَقُلْنَا : أَلَا تُعَلِّقُ شَيْئًا ، قَالَ : الْمَوْتُ أَقْرَبُ مِنْ ذَلِكَ ، قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " مَنْ تَعَلَّقَ شَيْئًا وُكِلَ إِلَيْهِ "
Isa bin Abdul Rahman berkata: Aku pernah menemui ‘Abdullah bin ‘Ukaim Abu Ma’bad al-Juhaniy untuk menziarahinya, dan dia menghidap penyakit Humrah. Aku pun berkata: Tidakkah sewajarnya engkau menggantungkan sesuatu? ‘Abdullah bin ‘Ukaim menjawab: Mati lebih baik daripada hal itu. Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Sesiapa yang menggantungkan sesuatu, dia akan diwakilkan kepadanya.
[Sunan at-Tirmizi, Kitab at-Tibb, hadis no: 1998 dan Musnad Ahmad, Hadis Abdullah bin ‘Ukaim, hadis no: 18401. Imam at-Tirmizi berkata: Abdullah bin Ukaim tidak pernah mendengar daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam walaupun dia hidup di zaman nabi. Shaikh Syu’aib al-Arnaouth berkata: Hasan Lighairihi dan Abdullah bin Ukaim tidak pernah mendengar daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam]
عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ ، قَالَ : مَنْ قَطَعَ تَمِيمَةً عَنْ إِنْسَانٍ كَانَ كَعِدْلِ رَقَبَةٍ.
Sa’id bin Jubair berkata: Sesiapa yang memotong tangkal daripada seseorang, seolah-olah dia membebaskan seorang hamba.
[Musannaf Ibn Abi Syaibah, Fi Ta’liq at-Tamaim wa ar-Ruqo, no : 23939]
عَنْ إِبْرَاهِيمَ ، قَالَ : كَانُوا يَكْرَهُونَ التَّمَائِمَ كُلَّهَا ، مِنَ الْقُرْآنِ وَغَيْرِ الْقُرْآنِ.
Ibrahim Nakhaie berkata: Mereka membenci kesemua jenis tangkal, tidak kira ia diperbuat daripada ayat al-Quran atau bukan al-Quran [Musannaf Ibn Abi Syaibah, Fi Ta’liq at-Tamaim wa ar-Ruqo, no: 23933].
Di dalam Fathul Majid disebutkan:
اعلم أن العلماء من الصحابة والتابعين فمن بعدهم اختلفوا فى جواز تعليق التمائم التى من القرآن أسماء الله وصفاته فقالت طائفة يجوز ذلك وهو قول عبد الله بن عمرو بن العاص وهو ظاهر ما روى عن عائشة وبه قال أبو جعفر الباقر وأحمد فى رواية وحملوا الحديث على التمائم التى فيها شرك
Ketahuilah bahawa ulama di kalangan sahabat dan tabiin dan ulama-ulama selepas mereka berbeza pendapat tentang keharusan menggunakan tangkal daripada ayat al-Quran dan nama-nama Allah. Sekelompok ulama membenarkan perbuatan tersebut. Ini merupakan pendapat Abdullah bin Amr bin al-‘As. Ia juga merupakan apa yang tampak daripada riwayat ‘Aisyah, dan jua merupakan pendapat Abu Ja’far al-Baqir, dan Imam Ahmad dalam satu riwayat pendapatnya. Hadis yang melarang tangkal pula dimaksudkan dengan tangkal yang mempunyai unsur syirik.
وقالت طائفة لا يجوز ذلك وبه قال ابن مسعود وابن عباس وهو ظاهر قول حذيفة وعقبة بن عامر وابن عكيم وبه قال جماعة من التابعين منهم أصحاب ابن مسعود وأحمد فى رواية اختارها كثير من أصحابه وحزم بها المتأخرون واحتجوا بهذا الحديث وما فى معناه
Sekelompok ulama pula berkata: Tidak dibenarkan. Ini merupakan pendapat Ibn Mas’ud, Ibn Abbas, dan ini merupakan zahir pendapat Huzaifah, Uqbah bin ‘Amir, Ibn ‘Ukaim, dan ini juga pendapat sekelompok ulama tabiin seperti anak-anak murid Ibn Mas’ud, dan ini juga pendapat Imam Ahmad yang menjadi pilihan kebanyakan anak muridnya. Ia juga merupakan pendirian ulama terkemudian dan mereka berhujah dengan hadis yang melarang penggunaan tangkal.
قلت : هذا هو الصحيح لوجوه ثلاثة تظهر للمتأمل : الأول : عموم النهى ولا مخصص للعموم. الثانى : سد الذريعة فإنه يفضى إلى تعليق ما ليس كذلك .الثالث : أنه إذا علق فلابد أن يمتهنه المتعلق بحمله معه فى حال قضاء الحاجة والاستنجاء ونحو ذلك
Aku berkata: Pendapat yang melarang inilah yang benar berdasarkan tiga hujah: Pertama: Keumuman larangan tangkal dan tiada dalil mengkhususkan.
Kedua: Sebagai langkah menutup pintu kerosakan, kerana membenarkannya akan menyebabkan digantung tangkal-tangkal yang lain.
Ketiga: Apabila dipakai, pasti yang memakainya akan membawa tangkal itu ketika membuang air, bersuci dan sebagainya.
Kesimpulannya ialah:
Yang lebih selamat untuk akidah kita ialah tidak menggantungkan apa-apa sebagai tangkal termasuklah ayat al-Quran atau doa-doa.
Wallahua'lam.